Taman Botanikal Melaka Ayer Keroh

Destinasi pelancongan yang menawarkan kedamaian dan ketenangan. Pembangunan taman-taman bunga dan kemudahan-kemudahan lain untuk tatapan pengunjung. Menawarkan pelbagai aktiviti untuk berekreasi dan beriadah sambil menikmati udara segar.

Antara yang menarik perhatian ialah Taman Botanikal seluas 92.5 hektar di Ayer Keroh yang berkonsepkan taman di dalam hutan.



Taman tersebut yang boleh dikatakan setanding dengan Taman Botanikal yang terdapat di Singapura dan Bogor, Indonesia setakat ini mempunyai lebih 200 spesies pokok hutan semula jadi dan lebih 100 spesies pelbagai flora dan sauna.

Penubuhan Taman Botanikal di Melaka melibatkan kos kira-kira RM3 juta yang dimulakan sejak 1 Jun dan dibuka kepada orang ramai pada 18 Oktober 2007.

Bagi menambah tarikan, sebanyak 32,370 batang pokok ditanam dalam usaha memulihara dan mengekalkan sumber hutan dengan penanaman pokok spesies dipterokap, pokok nadir dan pokok air tawar di kawasan seluas 39 hektar.

Sebanyak 24,070 pokok dipterokap seperti pokok cengal, meranti, karas, merbau, kapur, resak dan jelutung boleh didapati di Zon 1 manakala di Zon 2 seluas 6.08 hektar pula ditanam dengan spesies nadir seperti kembang semangkuk, terap, kerdas, keranji, sentul, asam gelugur, jering dan petai.

Di kawasan paya air tawar seluas 2.9 hektar di Zon 3 pula ditanam dengan 2,407 batang pokok nipah, rumbia, mengkuang, ramin, pandan dan asam kelubi manakala di Zon 4 seluas 0.8 hektar pula akan dijadikan kawasan pameran yang ditanam dengan pelbagai spesies pokok.

Tidak hairanlah Taman Botanikal turut menjadi salah satu tarikan utama pengunjung yang pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke tempat itu.

Begitupun, sebelum ini pengunjung yang datang ke taman ini terpaksa berjalan kaki untuk menikmati pemandangan menarik pelbagai spesies pokok hutan semula jadi dan lebih 100 spesies flora dan fauna.

Bagi menambah tarikan pengunjung ke taman itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Hang Tuah Jaya (PHTJ) melantik sebuah syarikat iaitu KLM Management Sdn. Bhd. untuk menyediakan perkhidmatan buggy jenis kereta dan motosikal.

Unik! Itulah yang dapat digambarkan apabila berpeluang memandu atau menunggang buggy berkuasa bateri yang disediakan dengan pelbagai reka bentuk menyerupai kereta mewah Rolls Royce dan Volkswagen sama ada berbumbung dan tidak berbumbung.

Motosikal buggy pula cukup menarik apabila ditunggang menggunakan kuasa automatik memudahkan mereka yang menaiki dan mengendalikan kenderaan itu dengan lebih mudah mengelilingi Taman Botanikal sejauh 3.5 kilometer dalam tempoh 30 minit.

Jauh berbeza ketika taman itu mula-mula dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2007 apabila setiap pengunjung terpaksa berjalan kaki yang cukup memenatkan tetapi tidak kepada penggemar dan pengkaji spesies pokok hutan semula jadi.

Kemudahan perkhidmatan buggy jenis kereta sebanyak 34 buah dan 20 buah jenis motosikal yang disediakan dengan pelbagai warna iaitu kuning, merah, coklat dan putih cukup selesa serta mudah dipandu kerana menggunakan gear automatik.

Bagi buggy yang berbentuk kereta mempunyai lima, enam dan lapan tempat duduk manakala buggy motosikal pula mempunyai satu dan dua tempat duduk.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan tersebut hanya dikenakan bayaran RM10 untuk kedua-dua jenis buggy yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Sumber: Utusan Online
Previous
Next Post »